Rabu, 26 Februari 2014

Pengaruh Ayah Terhadap Anak


 Tanggungjawabnya sangat besar dalam sebuah rumahtangga. Dialah ketua keluarga, dialah pencari nafkah dan dialah tempat rujukan isteri dan anak-anak. Jika dulu, ibu sering dijadikan sebagai tempat anak-anak mendapatkan belaian kasih sayang, sentuhan, makan dan minum serta tempat mengadu, sementara ayah pula tempat anak-anak meminta perkara material sahaja.


 Namun, zaman sekarang ramai ibu turut sibuk bekerja di luar rumah, jadi peranan ayah dalam mempengaruhi tumbesaran anak sama dengan ibu. Anak-anak sekarang sudah tidak janggal lagi untuk bermanja dengan ayah.Tidak takut lagi untuk bergurau senda dan bermesra dengan ayah.

 Sememangnya hubungan anak dan ayah memainkan peranan penting membentuk perilaku dan karektor anak. Biasanya anak menjadikan si ayah sebagai hero mereka. Segala kelakuan dan gaya si ayah menjadi contoh ikutan anak terutama anak lelaki. Sementara anak perempuan pula menyanjung tinggi ayah mereka sebagai lelaki pujaan.


 Hubungan tersebut boleh dibentuk sejak dari dalam kandungan lagi. Seorang ayah sepatutnya mula melibatkan diri dengan anaknya sejak si anak masih dalam rahim ibu. Sentuhan, belaian dan kata-kata yang diucapkan oleh ayah didengari oleh anak.


 Bahkan suara pertama ayah yang memperdengarkan azan di telinga anak sebaik dilahirkan turut membantu jalinan hubungan kasih sayang antara anak dan ayah. Bahkan penglibatan ayah yang turut mengendalikan bayinya seperti menukar lampin, memandikan, memakaikan baju, bermain mempunyai kekuatan tersendiri.


 Ia memberi kesan positif dalam perkembangan anak. Semakin banyak penglibatan ayah dalam pengasuhan
anak, semakin baik kesannya kepada perkembangan anak. Antaranya, ia turut membuat anak lebih bijak dan cemerlang dalam bidang akademiknya kelak, mengurangkan masalah kelakuan negative anak dan memupuk tabiat pemakanan yang sihat.


 Oleh itu, janganlah menganggap tugas mengasuh dan mengendalikan anak hanya terletak di bahu seorang ibu sahaja. Pengaruh ayah tidak kurang hebat dalam membentuk anak-anak yang positif akhlak dan perilakunya. Selain ibu, anak-anak juga memerlukan sentuhan ayah mereka untuk membesar dengan cemerlang.


Terima Kasih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sihat.Cergas.Cantik.Ceria © | Template Designed By Blog Bingkisan Hati